Memacu arus da'wah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dengan methodologi Salaf. Menggerakkan arus Tajdid, Tasfiyah dan Tarbiyah. Layari laman rasmi INTIS http://intisonline.com
 
HomeCalendarFAQSearchMemberlistUsergroupsRegisterLog in

Share | 
 

 Memasarkan Islam Pada Era Mutakhir- Kapten Hafiz Firdaus

View previous topic View next topic Go down 
AuthorMessage
Admin
Admin


Posts : 183
Join date : 12/06/2009
Age : 29
Location : Tampin

PostSubject: Memasarkan Islam Pada Era Mutakhir- Kapten Hafiz Firdaus   Wed Apr 14, 2010 12:24 am

Memasarkan Islam Pada Era Mutakhir- Kapten Hafiz Firdaus
(Marketing Islam In The Present Time)[1]

Pada zaman mutakhir ini, ramai orang terlibat dalam urusan pemasaran (marketing). Sebut sahaja Multi Level Marketing, Direct Selling, Insurance, Trust Fund, Islamic Investment, EPF investment, holiday package, kuih Hari Raya dan sebagainya, pasti ada sebahagian di kalangan pembaca atau kenalan pembaca yang menjadi agennya. Untuk menjadi agen pemasaran, seseorang itu perlu mengetahui strategi-strateginya (marketing strategies) agar produk yang dipasarkan, iaitu yang dijual, diyakini oleh pelanggan (customer) sehingga mereka membelinya. Tidak sekadar itu, hendaklah usaha pemasaran dilakukan dengan cara yang dapat menjamin pembeli tersebut menjadi pelanggan yang setia agar mereka menjadi pembeli tetap untuk produk-produk yang akan datang serta menyebarkan khabar tentang produk tersebut kepada orang-orang di sekelilingnya.

Untuk mencapai objektif ini, agen-agen pemasaran diberi kursus oleh syarikat pembuat produk tentang apa dan bagaimana melaksanakan strategi pemasaran yang efektif. Syarikat-syarikat tersebut juga memberi insentif yang menarik kepada mana-mana agen yang berjaya mencapai hasil pemasaran yang tinggi. Insentif ini berjaya menjadikan agen-agen tersebut bersungguh-sungguh mendalami strategi pemasaran dan mempraktikkannya secara berkesan apabila berhadapan dengan para pelanggan.

Saya sehingga kini tidak menjadi agen pemasaran kepada apa-apa syarikat atau produk. Akan tetapi minat kepada pelbagai jurusan ilmu menyebabkan saya turut memberi perhatian kepada strategi-strategi pemasaran yang mereka gunakan. Satu hari saya terfikir, bolehkah strategi-strategi tersebut kita gunakan dalam berdakwah? Maksud saya, Islam sebagai produk manakala strategi pemasaran sebagai kaedah dakwah. Memandangkan strategi-strategi pemasaran tersebut benar-benar berjaya menyakinkan sesuatu produk kepada pelanggan, tanpa mengira sama ada produk tersebut berqualiti atau tidak, bermanfaat atau tidak, maka bagaimana pula jika kita menggunakan strategi yang sama untuk memasarkan produk yang benar-benar berqualiti lagi bermanfaat, iaitu Islam?

Untuk mencari jawapan kepada persoalan di atas, marilah kita mengkaji beberapa strategi pemasaran yang terkini dan melihat bagaimana ia boleh digunakan untuk mendakwahkan Islam. Untuk kajian ini, saya membandingkan antara seorang yang menjadi agen pemasaran produk vitamin dengan seorang yang ingin mendakwahkan Islam.

Strategi Pemasaran # 1: Kenalilah Produk Anda.

Langkah pertama dalam strategi pemasaran adalah mengenali produk yang bakal dipasarkan. Seorang agen pemasaran vitamin perlu mengenali produknya seperti negara pengilang, adakah ia mengandungi unsur-unsur haiwan (animal by products), adakah ia diuji keberkesanannya ke atas haiwan (animal testing), kepentingannya kepada manusia dan kesan sampingan – seandainya ada. Mengenali produk tidaklah dituntut sehingga ke tahap mengenali struktur kimianya, cara mengilang dan bagaimana tubuh badan memproses vitamin tersebut. Ringkasnya agen pemasaran tidak dituntut mengenali produknya dari sudut seorang ahli kimia atau ahli farmasi, tetapi dari sudut yang bakal ditanya oleh pelanggan.

Demikian juga bagi seorang pendakwah Islam, dia perlu mengenali Islam terlebih dahulu. Mengenali Islam tidak bererti dia perlu menjadi seorang mujtahid, mufti atau seseorang yang memiliki kelulusan khusus dalam jurusan agama. Akan tetapi mengenali Islam pada tahap yang memadai untuk menerangkannya kepada orang yang bakal didakwahkannya. Sebagai contoh, jika dia mendakwahkan Islam kepada orang bukan Islam, dia perlu mengenali Islam dari sudut kepentingannya dalam membimbing manusia mengharungi cabaran-cabaran kehidupan yang serba kebendaan. Jika dia mendakwahkan solat kepada orang Islam yang enggan solat, dia perlu mengenali kepentingan solat dalam Islam dan efek positif yang bakal tercermin pada jiwa seseorang yang beristiqamah dengannya.

Dua catatan khusus sebelum mendakwahkan Islam berdasarkan strategi pemasaran ini:

· Pertama, hendaklah dia mengenali Islam berdasarkan dalil yang sahih, bukan mitos kosong atau hikayat turun temurun. Orang yang menjadi pendakwah Islam perlu sedar bahawa dia memainkan peranan sebagai duta yang mewakili Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila dia menyampaikan sesuatu yang tidak berasal, atau tidak dapat dipastikan berasal daripada Allah dan Rasulullah, bererti dia berdusta di atas nama Allah dan Rasulullah. Ini adalah kesalahan yang besar. Firman Allah:

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah.” [Maksud surah al-Ankabut, ayat 68]

Sabda Rasulullah: “Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan memasuki neraka.” [Maksud hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, hadis no: 1]

· Kedua, hendaklah dia mendakwahkan Islam berdasarkan ilmu, iaitu berdasarkan keterangan dan bukti yang nyata, bukan cerita yang dibuat-buat atau ditokok tambah demi menarik hati pelanggan sepertimana yang lazim dilakukan oleh sebahagian agen pemasaran. Ini kerana Islam adalah agama yang berteraskan dalil dan hujah yang difahami berdasarkan metodologi ilmiah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang nyata.” [Surah Yusuf, ayat 108]

Strategi Pemasaran # 2: Pasarkan Produk Anda Dengan Cara Yang Menarik Lagi Terkini.

It’s not what you sell but how you sell it! Demikian pesanan yang biasa disebut oleh guru-guru dalam strategi pemasaran. Seorang yang menjual vitamin mempunyai dua cara untuk memasarkannya.

Pertama dengan cara yang biasa, iaitu apabila dia berkata kepada pelanggannya: “Vitamin adalah penting untuk tumbesaran dan kesihatan”.

Kedua dengan cara yang menarik lagi terkini, umpama: “Makanan harian sahaja tidak mencukupi dalam suasana arus hidup yang serba dinamik lagi mencabar masa kini. Kita perlu melengkapkannya dengan vitamin agar minda dan fizik sentiasa di hadapan mendahului arus”.

Sekali pun merujuk kepada produk yang sama, kemungkinan seorang agen pemasaran untuk memperoleh keyakinan pelanggan berdasarkan ucapan yang kedua adalah jauh lebih tinggi berbanding ucapan yang pertama. Bandingkan pula apabila agen tersebut melengkapkan ucapan keduanya dengan brosur cetakan berqualiti tinggi yang berwarna dan fakta-fakta hasil kajian tentang kesan positif vitamin tersebut.

Seorang pendakwah juga perlu berubah cara dakwahnya daripada yang membosankan kepada sesuatu yang menarik. Cara membaca kitab secara duduk bersila perlu ditukar kepada bercakap secara bebas sambil berdiri atau berjalan. Cara pendakwah sahaja yang bercakap perlu dianjak kepada interaksi dua hala antara pendakwah dengan yang didakwah. Cara memakai pakaian yang lusuh perlu diubah kepada pakaian yang kemas lagi bersih. Cara penyampaian secara lisan sahaja perlu dikembangkan kepada penggunaan alat audio visual yang terkini. Cara penyampaian yang lurus perlu diselang-seli dengan cerita pengalaman, jenaka yang positif dan perumpamaan yang dapat mengkukuhkan kefahaman.

Mempelbagaikan cara berdakwah adalah sesuatu yang lazim dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda adakalanya duduk dan berdiri, bercakap serius dan berjenaka, bertanya soalan dan memberi perumpamaan. Baginda juga menggunakan bantuan alat audio visual, sekali pun pada zaman baginda alat tersebut hanyalah ranting kayu dan pasir. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan darjatnya dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (al-Musnad, hadis no: 4142), Abdullah bin Mas‘ud radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

(Pada suatu ketika) Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam menggariskan kepada kami satu garisan (di atas pasir) lalu bersabda: “Inilah jalan Allah.” Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: “Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.” Kemudian baginda membacakan ayat: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.” [Surah al-An’aam, ayat 153]

Seorang pendakwah juga perlu bijak dengan menyentuh isu-isu yang terkini apabila berdakwah. Sebagai contoh dalam suasana orang ramai yang begitu ketagih dengan kemajuan ilmu sains masa kini, mengaitkan keselarian penemuan sains dengan al-Qur’an akan memberi pengaruh yang positif kepada orang sedang didakwahkan. Demikian juga apabila mendakwahkan sesuatu ibadah kepada umat Islam. Dakwah “Syaikh aku boleh solat sambil terbang” perlu diubah kepada cara-cara bersolat dalam penerbangan. Ini kerana pada masa kini bukan syaikh tertentu sahaja yang boleh terbang (jika benar dia boleh terbang), tetapi semua orang boleh terbang: “Now everybody can fly!”.

Terdapat dua perkara yang perlu diperhatikan apabila berdakwah dengan strategi kedua ini:

Pertama, dalam suasana seorang pendakwah bersikap kreatif untuk menjadikan dakwahnya menarik lagi terkini, dia perlu berwaspada agar tidak melanggar batas-batas syari‘at Islam. Maksud saya, tidak boleh berdakwah dengan menggunakan sarana yang diharamkan sekali pun ia kelihatan menarik lagi terkini.

Kedua, dakwah yang menarik lagi terkini adakalanya mengundang kritikan negatif daripada sebahagian agamawan yang jumud lagi kebelakang. Jangan jadikan kritikan mereka sebagai penghalang untuk meneruskan usaha dakwah yang menarik lagi terkini, sebaliknya gunalah ia untuk menukar kejumudan dan kebelakangan mereka.

Strategi Pemasaran # 3: Berada Di Hadapan Saingan-Saingan Produk Anda.

Setiap produk pasti memiliki persaingan (competitors). Justeru usaha pemasaran tidak akan berjaya selagi mana saingan-saingan tersebut dibiarkan berada di hadapan. Seorang agen pemasaran yang berjaya adalah mereka yang berada di hadapan saingannya, iaitu dengan cara mengenali saingan tersebut dan mampu menerangkan kepada pelanggan kelebihan produknya berbanding produk saingan. Contoh saingan-saingan kepada produk vitamin adalah produk dari jenama lain, pendapat yang mengatakan vitamin tidak bermanfaat dan pendapat yang mengatakan pil herba yang dibuat daripada ramuan tumbuhan adalah lebih berkesan dan selamat berbanding pil vitamin yang dibuat daripada rumusan kimia. Seorang agen pemasaran vitamin tidak akan berjaya selagi mana dia tidak berada di hadapan dalam menangani sangan-saingan tersebut.

Tidak ada satu zaman dimana Islam memiliki saingan yang begitu banyak melainkan pada zaman kini. Saingan yang menyerang Islam muncul dari luar dan dalam. Globalisasi, Kristianisasi, Kapitalisme, Individualisme, Hedonisme, Orientalisme, Feminisme, Terrorisme dan Hak Asasi Manusia adalah saingan-saingan yang menyerang Islam dari luar. Sementara Liberalisme, Literalisme, Pluralisme, Fanatisme serta aliran-aliran yang sesat seperti Syi‘ah dan Golongan Anti Hadis menjadi saingan-saingan Islam dari dalam.

Seorang pendakwah perlu berada di hadapan agar dia dapat menerangkan secara adil kepada orang yang sedang didakwahnya tentang kesyumulan Islam berbanding saingan-saingan tersebut. Ditekankan faktor “secara adil” kerana tidak semua yang terkandung dalam saingan-saingan tersebut merupakan saingan yang negatif kepada Islam dan umatnya. Di antaranya ada yang positif, sekali pun jumlahnya mungkin sedikit. Justeru seorang pendakwah perlu bijak mengadili saingan-saingannya dan memisahkan antara yang positif dan negatif. Sikap adil ditekankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Maidah, ayat 8]

Sebagai contoh, persaingan kepada Islam pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah kaum Nasrani (Kristian) yang beriktikad bahawa Nabi Isa (Jesus) adalah anak tuhan. Islam mendahului persaingan ini dengan penjelasan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala bahawa Isa tidak lain adalah salah seorang rasul-Nya yang memiliki ibu dan memakan makanan seperti manusia biasa:

“Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).” [Maksud surah al-Maidah, ayat 75]

Sekali pun Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkritik kesalahan iktikad kaum Nasrani yang menjadi persaingan Islam ketika itu, Allah tetap mengiktiraf sikap mulia sebahagian kaum Nasrani dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani.” Yang demikian itu disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita serta ahli-ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” [Surah al-Maidah, ayat 82]

Oleh itu dalam usaha berada di hadapan persaingan, para pendakwah perlu bersikap adil antara mengkritik yang salah dan mengiktiraf yang benar. Selain itu terdapat dua hakikat tentang persaingan yang perlu kita sedari.

Pertama, Persaingan tidak dapat disifarkan. Oleh itu kita tidak boleh melarikan diri daripada persaingan. Sebaliknya kita boleh mengurusi persaingan, iaitu dengan cara mengenalinya dan berada di hadapannya (Know your competitors and stay ahead of them).

Kedua, persaingan, jika dipandang dari sudut yang postif, boleh membawa manfaat. Persaingan menyebabkan kita sentiasa bersiap sedia, bergerak pantas dan berdaya maju. Tanpa persaingan, kita akan menjadi leka, lembab dan pemalas. Justeru saingan-saingan kepada Islam ada kebaikannya dengan syarat umat Islam sendiri memiliki sikap yang positif terhadapnya.

Strategi Pemasaran # 4: Berikan Tawaran Yang Memikat.

Hampir tidak ada agen yang memasarkan produknya, melainkan dia cuba memikat hati pelanggan dengan tawaran yang memikat. Tawaran tersebut wujud dalam pelbagai bentuk, seperti harga diskaun, beli dua dapat satu percuma, potongan cukai, bonus, dividen dan seterusnya.

Memberi tawaran yang memikat bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Berdakwah dengan cara yang memudahkan adalah salah satu bentuk tawaran yang diwajibkan oleh Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan:

“Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.” [Maksud hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 69].

Justeru sikap sebahagian agamawan yang suka mengutamakan hukuman dan ancaman azab dalam berdakwah perlu diubah. Sebaliknya hendaklah diutamakan penerangan tentang Rahmat Allah kepada sekalian manusia, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaan-Nya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan (ingatlah) Dia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-Rum, ayat 50]

Demikian juga ketika berdakwah untuk membetulkan seorang muslim yang selama ini terjebak dalam pelbagai kemaksiatan, hendaklah didahului dengan tawaran Rahmat dan Keampunan Allah kepadanya:

Katakanlah: "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Maksud surah al-Zumar, ayat 53]

Strategi Pemasaran # 5: Bertahap-Tahap Dalam Memperoleh Keyakinan Pelanggan.

Memperoleh keyakinan pelanggan bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan sekelip mata. Ia memerlukan penjelasan yang lemah lembut lagi bertahap-tahap. Penjelasan yang keras lagi menghasratkan persetujuan serta-merta hanya akan menyebabkan pelanggan menjauhkan diri dari agen dan produknya. Oleh kerana itu merupakan salah satu silibus yang baku dalam kursus-kursus pemasaran agar para agen bersikap lemah lembut dan bertahap-tahap dalam memperoleh keyakinan pelanggan apabila melakukan usaha pemasaran.

Strategi yang sama juga ditekankan oleh Islam. Sikap yang keras dan menghasratkan persetujuan serta merta hanya akan menjauhkan orang yang sedang didakwah daripada pendakwah dan Islam. Oleh kerana itu Allah Subhanahu wa Ta'ala pernah mengajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk berlemah lembut ketika berdakwah:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” [Maksud surah Ali Imran, ayat 159]

Strategi bertahap-tahap pula dapat diperhatikan dalam ayat berikut:

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” [Maksud surah al-Taubah, ayat 6]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak memerintahkan umat Islam untuk memastikan orang musyrik yang meminta perlindungan daripada mereka agar serta merta memeluk Islam. Sebaliknya orang-orang musyrik tersebut hendaklah diberi ruang masa untuk mendengar tentang Islam dan berfikir tentangnya dalam suasana yang aman di bawah perlindungan umat Islam. Sikap bertahap-tahap tidak memiliki tarikh luput. Sebaliknya ia berterusan kerana tiada siapa yang tahu bila seseorang itu akan memeluk Islam atau bila seorang muslim yang lazim melakukan maksiat akan bertaubat dari kesalahannya.

Bertahap-tahap dalam berdakwah tidak sahaja dilihat dari sudut masa, tetapi juga dari sudut kemampuan orang yang sedang didakwahkan. Perbicaraan yang ringan atau berat hendaklah diubah suai mengikut tahap pengetahuan dan kadar kecerdasan orang yang sedang didakwahkan. Merupakan satu kepincangan dalam strategi berdakwah jika seseorang itu membicara jenis-jenis sanad hadis yang daif (mursal, munqathi’) jika orang yang didakwahkan itu masih belum jelas perbezaan antara Islam dan agama-agama lain.

Strategi Pemasaran # 6: Aksi Lebih Berkesan Berbanding Perkataan.

Action speaks louder than words! Demikian antara pesanan yang jarang-jarang ditinggalkan dalam buku mahu pun kursus strategi pemasaran. Bayangkan seorang agen yang memasarkan produk vitamin padahal ketika begnya dibuka, jelas kelihatan beberapa jenis pil herba yang diambilnya sendiri. Atau ketika dia sedang sibuk menerangkan kepentingan kesihatan yang baik melalui pengambil vitamin, terhidu bau rokok dari mulutnya, menunjukkan agen itu sendiri tidak peduli tentang kesihatan dirinya. Aksi-aksi ini memberi kesan yang besar kepada pelanggan bahawa agen tersebut hanya bercakap padahal dia sendiri tidak percaya apa yang dicakapkan.

Kesalahan pemasaran seperti di atas telah juga disentuh oleh Islam. Seorang pendakwah dilarang semata-mata berdakwah padahal dia sendiri tidak mempraktikkan apa yang didakwahkan. Pendakwah seperti ini ditegur keras oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [Maksud surah al-Saff, ayat 2-3]

Oleh itu setiap pendakwah hendaklah memastikan bahawa dia juga melakukan apa yang dia dakwahkan sekadar mampu. Ditambah syarat “sekadar mampu” kerana seorang pendakwah adalah juga manusia biasa yang adakalanya tidak mampu melakukan setiap sesuatu yang didakwahkan. Namun dia terus menyampaikan dakwah kepada orang lain kerana mungkin yang didakwah lebih mampu daripada yang berdakwah. Seorang pendakwah yang kesibukan dan keletihan dengan kuliah di sana-sini mungkin tidak sempat untuk melakukan solat-solat sunat di samping solat fardhu. Namun hal ini tidak patut menjadi penghalang untuk dia mendakwahkan keutamaan solat sunat kepada orang lain kerana mungkin orang yang didakwahkannya memiliki banyak waktu lapang berbanding dirinya sehingga dapat melakukan solat-solat tersebut.

Strategi Pemasaran # 7: Memelihara Hubungan Bersama Pelanggan.

Pemasaran yang efektik adalah pemasaran yang melibatkan hubungan yang baik antara agen, pelanggan dan produk. Hubungan ini berlangsung sebelum, semasa dan sesudah urusan pemasaran. Termasuk dalam kategori hubungan yang baik adalah sikap agen yang berani menerima soalan, terbuka menerima kritikan dan bersabar atas kerenah pelanggan. Hubungan ini terjalin dengan baik sepanjang masa dan tidak terbatas kepada peringkat sebelum dan semasa urusan pemasaran. Ini kerana agen yang melupakan pelanggan pasti akan dilupakan oleh pelanggan.

Saya sendiri sebelum ini pernah didatangi oleh agen pemasaran produk-produk tertentu. Mereka tidak terus memasarkan produk kepada saya melainkan setelah beberapa kali bertemu dan bersembang hal-hal umum, seolah-olah ingin menjalin tali persahabatan. Hanya apabila mereka dapati saya selesa bersama mereka, barulah mereka menerangkan tentang produk yang sedang mereka pasarkan. Namun apabila saya menyatakan bahawa saya tidak minat, mereka terus terpeluwap ke udara menghilangkan diri.

Ini adalah satu kesalahan , paling kurang dari dua sudut:

· Pertama, ia adalah satu sikap hipokrit, yakni tidak ikhlas dalam menjalin tali persahabatan.

· Kedua, sesuatu yang saya tidak minat pada awalnya mungkin akan berubah pada masa kemudian. Merupakan satu kerugian kepada agen tersebut seandainya saya berminat kepada produk yang dipasarkannya pada masa kemudian.

Jika kita mengkaji sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, kita akan menemui bahawa baginda sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan masyarakat, sama ada yang memeluk Islam atau tidak. Pengecualian hanya kepada mereka yang menentang Islam dan menzalimi umatnya.

Antara hubungan yang baginda pelihara ialah keterbukaan menerima soalan, sebegitu banyak sehingga sebahagian daripada soalan tersebut dirakamkan dalam al-Qur’an sebagai:

“Mereka bertanya kepada kamu wahai Muhammad mengenai…”.

Antaranya ialah ayat 189 surah al-Baqarah yang bermaksud:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”

Baginda juga memelihara hubungan dengan cara mengambil berat tentang hal ehwal umatnya, merasai kesusahan dan saw kegembiraan yang mereka alami. Ringkasnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam turun ke padang dan sentiasa berada di padang bersama umatnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengisahkan sikap Rasulullah yang mulia ini:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” [Maksud surah al-Taubah, ayat 128]

Para pendakwah perlu mencontohi sikap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas. Mereka perlu terbuka menerima soalan dan tidak memandangnya sebagai sesuatu yang mempertikai status mereka. Mereka perlu duduk bersama umat dan tetap duduk bersama umat untuk merasai asam garam kehidupan. Mereka tidak patut duduk di pejabat berhawa dingin dan menulis fatwa yang tidak berpijak pada dunia realiti. Mereka perlu berani menerima kritikan dan memandang kritikan tersebut secara positif kerana ia akhirnya akan memperbaiki diri mereka sendiri. Dengan sikap positif yang terbuka menerima maklum balas daripada orang yang didakwahkan, Islam yang dipasarkan akan diterima dengan baik oleh orang ramai.

Demikian tujuh strategi pemasaran yang lazim digunakan oleh agen-agen pemasaran yang berjaya. Berdasarkan perbandingan, kajian, penjelasan dan contoh yang dikemukakan, dapat disimpulkan bahawa strategi pemasaran tersebut boleh juga diguna pakai untuk memasarkan Islam. Bahkan tidak berlebihan jika saya simpulkan bahawa ia amat sesuai digunakan oleh para pendakwah untuk memasarkan Islam pada era mutakhir ini. Strategi-strategi ini menepati keumuman kaedah berdakwah yang digariskan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:

“Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Maksud surah al-Nahl, ayat 125]

Sebelum berpisah, para pendakwah Islam juga dijanjikan insentif di atas usaha mereka, selagi mana usaha tersebut menepati kaedah-kaedah berdakwah yang digariskan oleh ayat 125 surah al-Nahl di atas. Insentif tersebut adalah pengiktirafan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala bahawa apa yang mereka usahakan itu memiliki nilai kebaikan yang tiada tandingannya. Firman Allah:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang shalih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [Maksud surah al-Fussilat, ayat 33]

Seperkara lain yang perlu diketahui, yang membezakan antara agen pemasaran dengan pendakwah Islam, adalah seorang agen pemasaran sentiasa mengharapkan upah atau komisen duniawi dari usahanya memasarkan sesuatu produk. Berbeza dengan seorang pendakwah Islam, dia tidak mengharapkan apa-apa upah atau komisen melainkan apa yang bakal dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepadanya:

“Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” [Maksud surah al-Syu’ara, ayat 109]

Ini adalah sunnah semua para Nabi dan Rasul Allah, dan ia menjadi sunnah kepada para pendakwah yang menjadi pewaris para Nabi dan Rasul tersebut.

[1] Risalah ini merupakan kertas kerja saya dalam seminar Muslim Professional Da’i, anjuran Univ. Islam Antarabangsa M’sia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 11 Nov 2006
Back to top Go down
View user profile http://intisonline.com
 
Memasarkan Islam Pada Era Mutakhir- Kapten Hafiz Firdaus
View previous topic View next topic Back to top 
Page 1 of 1

Permissions in this forum:You cannot reply to topics in this forum
INTIS - Merintis Jalan Sunnah :: Forum Ilmu :: Dakwah-
Jump to: