Dinukil dari ringkasan Sifat Puasa Rasulullah oleh Ustaz Fathul Bari:
1. Perkara yang membatalkan puasa
Perkara-perkara ini bukan sahaja membatalkan puasa, bahkan akan melipat gandakan dosa si pelakunya, kecuali wanita-wanita yang datang haidh atau nifas atau orang sakit yang terpaksa menerima suntikan yang berupa makanan. Kesimpulannya, perbuatan yang disengajakan akan menyebabkan dosa pada si pelaku.Wallahu'alam.
a. Makan dan minum dengan sengaja
- Allah berfirman :
﴿ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْر ﴾
Maksudnya : " Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar " [Al-Baqarah : 187]
b. Muntah dengan sengaja
- Nabi bersabda :
[ من ذرعه القيء ؛ فليس عليه قضاء ، ومن استقاء فليقض ]
Maksudnya : " Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka dia tidak perlu mengqadha, dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka dia perlu mengqadha " [HR Ibnu Majah : 1676]
c. Haidh dan Nifas
- Nabi bersabda :
[ أليس إذا حاضت لم تصل و لم تصم ؟ قلن : بلى، قال : فذلك نقصان دينها ]
Maksudnya : " Adakah wanita yang datang haidh tidak perlu solat dan puasa? Kami berkata : Ya! Maka Rasulullah menjawab : Itulah kekurangan agama mereka. [HR Muslim : 79 & 80]
d. Jima'
- Allah berfirman :
﴿ فَالْآَنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْر ﴾
Maksudnya : " Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kamu.Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar " [Al-Baqarah : 187]
Dalam ayat di atas, Ibnul Qayyim berkata di dalam Zaadul Ma'ad : Sesungguhnya, Al-Quran telah menunjukkan jima' membatalkan puasa seperti makan dan minum serta tidak ada khilaf dalam masalah ini.
e. Suntikan yang berupa makanan
Iaitu bertujuan memberi makan kepada pesakit. Perkara ini membatalkan puasa kerana diqiaskan kepada makan serta minum. Dan ini juga merupakan keputusan Majma' Fiqhi.